Aku hanya mencari secebis nilai persahabatan yang jujur dalam kehidupan pasca moden ini. Teman yang aku kira dapat mengharungi susah dan senang bersama, tanpa ada agenda di sebalik salam persahabatan yang aku hulurkan.
Aku memandang keluar jendela, menyaksikan kerenah beberapa kumpulan manusia, bertepuk tampar, ketawa girang, berbual, berbicara soal gossip-gosip hangat aku kira. Ya. Aku merindui masa-masa begitu. Merindui untuk berkumpul bersama teman-teman, melakukan segalanya bersama. Berlibur, berjuang, berdebat, bergaduh, bermain dan segala kegilaan kami. Aku tersenyum sendiri.
Entah kenapa, kami tidak disenangi ramai. Di mana sahaja akan ada yang berbicara tentang kami. Pastinya, cerita-cerita buruk. Jika tidak pun, leretan mata yang penuh dengan seribu macam rasa akan dilemparkan.
“Persahabatan kalian kuat. Aku cemburu.” Ujar seorang kenalanku, Mia. Gadis kampung yang berpewatakan membosankan. Tiada kehidupan sosial, tidak menarik, tetapi cemerlang berbandingku. Seringkali aku sakitinya dengan pelbagai rasa, hanya kerana kami tidak setara.
Aku membalas dengan senyuman bangga. Ya, persahabatan kami jitu. Suci.
Kami berseronok, di dalam dunia yang kami cipta. Tidak mengendahkan pandangan sekeliling. Menghiraukan perasaan sekeliling.
Ah. Mereka terlalu naïf bersosial. Tidak layak menghakimi kami. Abaikan mereka.
“Kau punya click yang hebat. Berstatus, berpengaruh, berpangkat, berduit, dan bermasalah. Aku mahu kau menjaga tingkah laku kau di khalayak. Bukan apa, kau dan kawan-kawan kau dikenali ramai. Kau pula adalah 'seseorang' di sini. ” Nasihat pula si Kamal.
Aku memandang sepi. Terdetik, tidak perlu kau mengingatkan siapa kami dan apa yang kami lakukan. Kami cuma mahu berseronok. Kami tidak mengganggu kehidupan sesiapa. Kami berada dalam ruang lingkup kami sendiri.
“Tapi, aku juga ragu, sejauh mana kekuatan persahabatan kalian. Aku mahu lihat, sejauh mana keikhlasan yang diwacanakan kalian. Bukan apa, aku ingin melihat sejauh mana kau dan click kau bertahan. Aku tak yakin.”
“Kau tiada hak mempertikaikan kami. Apa kau juga cemburu dengan keakraban kami?”
“Bukan aku cemburu, tapi aku risau.”
???
“Maaf jika persepsi aku salah. Ya, aku tiada hak mempertikaikan kalian, tapi aku punya hak untuk menyedarkan kau dari mimpi.”
“Hei, aku tak bermimpi. Ini adalah realiti. Kehidupan yang kami gubah, jauh dari tipu muslihat dan hipokrasi.”
“Kau gubahnya menjadi terlalu sempurna Sara, hingga kau buta menilai antara kaca dan permata. Dengar kataku Sara, aku tak yakin kalian akan bersatu di masa susah. Aku tak mahu kau tersilap langkah.”
“Itu anggapan kau sahaja. Aku yakin dengan persahabatan kami.”
Aku berlalu meninggalkan Kamal. Sedikit kesal bercampur marah dengan sikapnya. Seorang pemimpin yang dihormati di dalam organisasinya sendiri tidak mampu memahami hipokrasi dunia yang penuh kepalsuan ini.
Aku menyimpan rasa, memahat segala apa yang diucapkan Kamal. Kau silap mentafsir. Suatu hari nanti, kau akan sedar.
………………………….
Tiga tahun berlalu. Kata-kata Kamal seperti masih panas di cuping telinga angkuhku. Pasti kau sedang mentertawakan aku di saat ini. Ah, masih lagi aku mahu bersikap angkuh dengan kehidupan yang sementara ini. Baru sahaja aku berada di puncak, melakar nama, mengecap kemahsyuran, sepantas itu jugalah aku jatuh ke dasar bumi. Ke dasar paling dalam.
Aku hanyut dalam kegelapan duniawi. Sesat. Aku mencari teman-teman rapatku. Merintih memanggil satu persatu nama. Aku mahu keluar dari sini.
Bantulah aku! Tolonglah aku! Aku perlukan kalian! Jangan tinggalkan aku!
Puas aku mencari, merayu, mengharapkan secebis ehsan dari insan-insan yang ku gelar teman. Benar. Aku boleh berdiri sendiri, tapi aku juga manusia lemah yang memerlukan cahaya untuk meneruskan sisa hidup yang sejengkal ini.
“Tuhan, ampunkan segala dosa ku. Aku terlalu alpa dan bermegah dengan kehidupanku. Hatta aku lupa ianya hanyalah pinjaman dari Mu.”
Sudah terlewat untuk aku mengatakan, “kau silap Mia” atau “terima kasih Kamal.”
“Sambut tanganku Sara.”
Aku menoleh. Menatap seraut wajah manis yang pernah aku sakiti. Mia?? Terkedu.
“Ayuh.”
Pantas aku menyambut huluran itu. Kau genggam erat tanganku, menyusun derap langkahku. Kau pimpin aku ke arah cahaya. Bingkas aku mengatur langkah, mengutip cebisan-cebisan harapan agar aku mampu berdiri semula.
………………………………………
Hari ini, aku di sini. Dalam realiti alam yang asing bagiku. Namun, tidak sekali pun kau mengeluh sesal. Kau tidak pernah jemu menghulurkan tangan di saat aku jatuh, setia menadah telinga mendengar rintihanku, bingkas mengejutkan aku tatkala aku bermimpi.
Kau kemudi hidupku, agar kembali ke landasan realiti, sebelum sempat aku menyusun jari memohon kemaafan.
Terima kasih kerana memimpin aku. Benar, aku telah silap mentafsir. Buta membezakan antara kaca dan permata.