Friday, December 24, 2010

kau, aku, dan segalanya.

“Kau sakit. Kau gila.”

Aku tak sakit. Aku juga tak gila. Aku hanya menjadi aku yang belum kau kenali. Maaf, andai sifatku ini tak kau senangi. Aku hanya ingin kau memahami aku, menyayangi aku. Aku, cuma mahu kau disampingku tika susah dan senangku.

Aku hanya ingin kau mengerti aku. Aku tak mahu menjadi palsu yang bertukar rupa hanya kerana ingin bersama kau. Tak.

“Aku perlukan jawapan ilmiah bila aku menyoal. Bukan jawapan bodoh.”

Sayang, hakikatnya, aku belum cukup pandai untuk memberi jawapan kepada soalan-soalan kau. Aku bukan tandinganmu. Kau jua tahu, kau jauh lebih hebat berbandingku.

Aku kesal.

Katamu, aku sengaja menjadi dramatik depanmu, terlalu beremosi. Terlalu keanak-anakan. Pintamu, agar aku hentikan segala drama ini.

Sungguh, aku terpukul dengan segala tohmahan yang kau lemparkan. Aku bukan seorang pelakon yang mampu menukar emosi dalam sekelip mata, menangis tanpa sedih bertandang, tersentap tanpa hati dihiris luka. Sakit. Pedih. Kecewa.

Bukan aku ingin kau sentiasa bersama, bukan wang ringgit mahuku, bukan juga aku ingin sentiasa di belai manja. Cukup, sekadar kau memahamiku, sayang.

Ah, hanya aku yang damba kasih dan sayang mu, sedang aku hanya mainan mu.

Ya, aku sayang. Kerana sayang, aku cuba turuti aturanmu. Tapi kau, kau hanya mahu apa mahu mu. Aku bagaimana? Rasaku? Mahuku?

Aku hanya boleh memanggilmu sayang bila kau mahu, aku hanya boleh menggenggam tanganmu bila kau perlu, aku hanya boleh mendampingimu bila kau bernafsu.

Kisah kita juga adalah dari kemahuanmu.

Sedang aku, kosong.