Lagaknya umpama bidadari yang turun dari langit tujuh, menyembah bumi durjana. Serpihan kelip-kelip cahaya mengekori susuk bayangnya, lalu membentuk cahaya yang menyinari jalannya.
Cahaya. Memberi aku ruang melihat senyum yang terukir indah di bibir mulus itu. Sepasang mata bulat galaknya melemparkan pandangan. Penuh makna. Seakan memberitahu, hidup adalah ilusi yang diconteng sendiri. Jangan pertaruhkan sisa hidup yang menanti mati dengan sia-sia.
Kelam. Kau hilang. Hanya imaginasi berterusan tentang sang bidadari menemani siang dan malam ku. Aku berfantasi. Jika hidup adalah ilusi yang diconteng sendiri, aku mahu menconteng ilusi mu, bidadari. Aku mahu melakar kenangan bersamamu, jatuhku, bangunku bersamamu. Aku mahu hidup dalam cahaya yang mengekorimu.
Betapa cantik paras wajahmu bidadari, menghiasi kamar hatiku. Ah, aku perlu menjejakimu. Aku perlu ketemu kau, bersua, sekali lagi, hanya untuk menatap ke dalam matamu, bidadari. Renungan yang telah lama aku nantikan, Padanya, memoir kehidupanku kembali terukir, seakan wujud di alam lain yang suatu ketikan dahulu aku huni.
Ya. Aku perlu ke sana. Bertemumu bidadari, meniti sisa hembusan nafas yang sekelumit cuma.